Translate

Sunday, August 2, 2026

Cikna popularkan produk berasaskan nisan kerek

SEORANG usahawanita, Nur Nadirah Syuhadah Rahmat, 28, gigih mempromosikan produk makanan dan minuman berasaskan manisan atau nisan kerek yang menjadi identiti Pantai Timur termasuk Terengganu.

Dia dan suaminya, Muhammad Faris Syarafuddin Mohd. Kahni, 30, yang berlatar belakang keluarga pengusaha nisan kerek asli diperbuat daripada nira kelapa itu mengambil tanggungjawab tersebut sejak tahun 2020.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, semuanya bermula sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik Covid-19 yang menyebabkan kerjaya asalnya sebagai jurusolek profesional terbatas. 

“Kami yang kebosanan di rumah mula menghasilkan kopi menggunakan nisan asli sebagai pemanis yang menjadi resipi keluarga turun-temurun. 

“Pada mulanya, kami beri kawan terdekat rasa sebelum berani menjualnya secara kecil-kecilan selepas kerajaan membenarkan premis perniagaan kembali dibuka,” katanya ketika ditemui K-Wanita di Dataran Batu Putih, Marang, Terengganu baru-baru ini. 

Nur Nadirah Syuhadah yang mesra dipanggil Cikna berkata, dia tidak menyangka jenama Kopi Nisang buatannya menjadi tular sehingga mereka a tidak menang tangan melayan permintaan pelanggan.

Katanya, Kopi Nisang bukan sahaja diminati oleh penduduk setempat, malah pengunjung luar dari Terengganu serta kerabat diraja. 

“Alhamdulillah, rezeki kami murah sehingga mampu mengembangkan perniagaan ini di tiga cawangan iaitu di Dataran Batu Putih dan Padang Mengkuang, Marang serta Pasarnita Kuala Terengganu. 

“Kini selain Kopi Nisang, kami turut memperkenalkan menu-menu lain berasaskan nisan kerek seperti colek pelam, kunafa, ayam goreng Korea dan wafer,” ujarnya. 

Sementara itu, Cikna mengakui, kualiti nira kelapa amat mempengaruhi rasa nisan kerek yang digunakan, sekali gus memberi kesan kepada produk makanan dijualnya.

Dia memaklumkan, ibu dan ibu mentuanya banyak membantu mengolah resipi harian agar produk makanan dan minuman berasaskan nisan kerek dapat menetapi selera pelanggan.

Dalam perkembangan sama, Cikna memberitahu, perniagaannya kini dibantu oleh 40 pekerja bagi menguruskan syarikat di bawah nama Nachik Empire.

Menurutnya, kepuasan sebenar bukan keuntungan semata-mata, sebaliknya kejayaan mengangkat martabat nisan kerek  yang merupakan manisan semula jadi Pantai Timur. 

“Sewaktu ramai pengusaha makanan lain menggunakan keju bagi melariskan perniagaan mereka, saya memilih pendekatan menjadikan nisan kerek sebagai ramuan utama. 

“Alhamdulillah, nisan kerek juga sesuai diadunkan dalam pelbagai produk makanan yang menjadi buruan ramai,” katanya.  

Dalam perkembangan sama, Cikna memberitahu, dia memberanikan diri melebarkan perniagaan dengan membuka 

Lembah Nisang di Kampung Batu Putih, Marang pada Ogos tahun lalu.

Dia sangat bersyukur kerana Lembah Nisang yang beroperasi pada pukul 11 pagi hingga 7 malam setiap hari kecuali Selasa itu mendapat sambut memberangsangkan termasuk dalam kalangan pelancong.

“Antara cabaran terbesar saya adalah melayani karenah pelanggan yang pelbagai.

“Selain itu, saya perlu pastikan kualiti rasa air nira yang menjadi bahan asas utama menghasilkan nisan kerek konsisten pada  setiap hari.

“Ada ketikanya, rasa terlalu kelat, masin, tawar atau manis. 

“Jadi, saya perlu olah semula agar rasa semua produk yang dijual ini sentiasa sama dan seragam di semua  cawangan kami,” katanya.


No comments:

Post a Comment