MARANG – Pas menyangkal dakwaan kononnya kerjasama politik antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sekadar wayang politik semata-mata.
Sebaliknya, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang percaya penyatuan kali ini lebih erat kerana parti tersebut dan UMNO yang menjadi tunjang BN memperjuangkan dasar sama iaitu ketuanan Islam dan Melayu.
Beliau mengakui persaingan antara Pas dan UMNO sebelum ini disebabkan perbezaan pendekatan masing-masing dalam memperjuangkan kepentingan Islam dan Melayu.
“(Sebelum ini) perselisihan (Pas dan UMNO) atas perkara cabang, dasar tiada khilaf.
“Pas berdasarkan Islam, UMNO berdasarkan Melayu. Melayu dan Islam tidak berpisah. Kita (Pas dan UMNO) berbalah pendekatan sahaja,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah dhuha di Masjid Rusila, di sini semalam.
BN dan PN menjalin kerjasama politik dengan masing-masing bertanding 25 dan 11 kerusi dalam PRN Negeri Sembilan yang berlangsung 1 Ogos ini.
Abdul Hadi berkata, kerjasama BN dan PN sepanjang kempen PRN Negeri Sembilan sejak hari penamaan calon seminggu lalu berjalan sangat baik.
Menurutnya, pemimpin kedua-dua parti gabungan telah berkempen bersama-sama, malah beliau juga dijadual turun ke Negeri Sembilan pada minggu depan.
“Kita hendak pastikan orang Melayu Islam memerintah Negeri Sembilan. Undi calon Melayu Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem daripada BN dan PN.
“Orang bukan Islam jangan takut kerana agama dan politik tidak berpisah dalam Islam,” katanya.
Abdul Hadi juga menyeru pengundi-pengundi Negeri Sembilan menolak calon-calon Pakatan Harapan.

No comments:
Post a Comment