Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyambut baik cadangan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.
Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UMT, Prof. Dr. Suriyani Muhamad berkata, penggubalan semula AUKU menerusi kerangka perundangan pendidikan tinggi lebih sesuai amat ideal dengan keperluan dan aspirasi pendidikan tinggi semasa.
Beliau yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMT berkata, langkah tersebut penting bagi memperkukuh lagi reformasi tadbir urus pendidikan tinggi negara.
“Pembaharuan kerangka perundangan ini juga selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (2026-2035) yang menekankan transformasi, kecemerlangan, daya tahan serta pengukuhan ekosistem pendidikan tinggi negara.
“UMT melihat pembaharuan ini sebagai sebahagian daripada usaha menyeluruh memastikan institusi pendidikan tinggi terus relevan, berdaya saing dan responsif terhadap perubahan serta tuntutan masa hadapan,” katanya di sini hari ini.
Anwar semalam mengumumkan kerajaan akan memansuhkan AUKU bagi memberi kebebasan dan ruang demokrasi lebih luas kepada gerakan mahasiswa di negara ini.
Suriyani berkata, kerangka baharu perundangan pendidikan tinggi kelak perlulah fokus dalam peningkatan autonomi institusi, akauntabiliti universiti awam serta pembangunan ekosistem akademik yang lebih terbuka, dinamik, inovatif dan berdaya tahan.
Beliau berkata, UMT berharap kerangka perundangan baharu tersebut dapat memberikan jaminan yang lebih jelas terhadap kebebasan akademik serta ruang yang wajar kepada warga universiti untuk berfikir, bersuara, berkarya dan menjalankan penyelidikan. – KOSMO! ONLINE

No comments:
Post a Comment