Oleh MOHD AZLI ADLAN
DUNGUN – Seorang lelaki warga Bangladesh disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) cedera selepas tergelincir dari cerun bukit sewaktu cuba melepaskan diri daripada serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah kawasan perlombongan bijih besi di Bukit Besi, di sini, semalam.
Dalam kejadian pada pukul 8 pagi itu, warga asing berusia dalam lingkungan 30-an tersebut mengalami kecederaan pada bahagian kepala, tangan dan kaki.
Dia yang segera diberi rawatan kecemasan oleh pegawai penguat kuasa JIM berada dalam keadaan stabil sebelum ditahan.
Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, lelaki Bangladesh terbabit antara 49 warga asing yang ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen dalam operasi di kawasan lombong bijih besi berkenaan.
“Mereka termasuk enam wanita dan dua kanak-kanak berusia dalam lingkungan 10 bulan hingga 66 tahun.
“Ia melibatkan 24 orang warga Bangladesh, Indonesia (17), Myanmar (7) dan seorang lelaki India,” katanya di sini hari ini.
Lokman Effendi berkata, taktik penyamaran menggunakan kenderaan bukan milik JIM telah digunakan bagi memasuki kawasan perlombongan bijih besi terbabit.
“Ia dilakukan bagi mengelak serbuan itu diketahui warga asing terbabit yang dipercayai bekerja di lombong bijih besi itu yang dianggarkan kira-kira dua kilometer dari jalan utama,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:
Post a Comment