KUALA TERENGGANU – Seorang kontraktor pendawaian kerugian RM50,400 selepas diperdaya tawaran tender pembekalan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang sebenarnya tidak wujud.
Lelaki berusia 52 tahun yang menyedari tertipu telah membuat laporan berhubung kes itu Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, kontraktor itu menerima e-mel kononnya daripada kakitangan KPKT pada pukul 9 pagi, 14 Julai lalu.
“E-mel itu berkaitan sebut harga kononnya projek pemasangan lampu jalan jenis solar di bawah peruntukan khas Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT).
“Mangsa kemudiannya berhubung dengan suspek yang mengaku kononnya kakitangan KPKT berkenaan sebelum ditawarkan pula tender pembekalan tiga unit alat jana kuasa mudah alih,” katanya di sini semalam.
Azli berkata, suspek mencadangkan kononnya syarikat pembekalan gajet itu yang berharga RM16,800 setiap unit.
Beliau berkata, kontraktor terbabit kemudiannya berhubung dengan individu kononnya wakil syarikat pembekalan terbabit sebelum membuat pembayaran bagi alat jana kuasa mudah alih berkenaan.
“Pembayaran dibuat menerusi dua transaksi ke dalam akaun bank diberi suspek pada Khamis lalu. Begitupun mangsa tersedar dia sudah ditipu apabila panggilan telefonnya tiba-tiba disekat ‘syarikat pembekalan’ tersebut dua hari kemudian,” katanya.
No comments:
Post a Comment