KUALA TERENGGANU – Keghairahan seorang jurujual butik pakaian berjenama menggadai barang kemas untuk menyertai skim pelaburan selepas terperdaya dengan pulangan lumayan dalam masa tiga jam memakan diri apabila kerugian RM290,910.
Mangsa yang berusia 60 tahun membuat laporan mengenai kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada pukul 12.59 tengah hari kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, mangsa tertarik untuk menyertai skim pelaburan selepas melihat iklan di Facebook pada Mei lalu.
“Skim itu bukan sahaja menawarkan modal yang rendah, malah menjanjikan pulangan lumayan dalam masa tiga jam.
“Mangsa yang rambang mata kemudian menyertai skim pelaburan itu sebelum diminta menambah modal kononnya sebagai syarat untuk menebus keuntungan,” katanya.
Azli berkata, wanita itu kemudian dihubungi oleh individu yang mengaku pegawai mengendalikan kes penipuan online.
“Pegawai itu menawarkan bantuan kononnya boleh mendapatkan semula modal pelaburan. Mangsa membuat pembayaran tambahan ke dalam 16 akaun bank yang diberikan sejak 14 Jun hingga Jumaat,” katanya.
Selain barang kemas, mangsa turut menggunakan wang simpanan untuk diserahkan kepada scammer tersebut
No comments:
Post a Comment