Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – McDonald’s Malaysia menyempurnakan tanggungjawab menunaikan zakat korporat berjumlah RM100,000 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).
Naib Presiden Kanan McDonald’s Malaysia, Azhar Darbi berkata, pembayaran zakat korporat itu adalah tanggungjawab syarikat tersebut yang dimiliki 100 peratus orang Islam sejak tahun 2016.
“Setakat ini, kami telah menunaikan zakat korporat dengan nilai terkumpul kira-kira RM1 juta kepada Maidam.
“Selain itu, manfaat tersebut turut disalurkan kepada komuniti asnaf memerlukan menerusi pendekatan wakalah zakat,” katanya di restoran McDonald Batu Burok di sini kelmarin.
Terdahulu beliau menyampaikan zakat korporat tersebut kepada Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Prof. Madya Datuk Dr. Ahmad Azrin Adnan.
Azhar berkata, Terengganu adalah negeri kedua dilunaskan pembayaran zakat korporat kepada majlis agama negeri selepas Kelantan pada bulan lalu.
Beliau berkata, McDonald’s Malaysia berhasrat menyelesaikan pembayaran zakat korporat kepada majlis-majlis agama negeri lain menjelang akhir tahun ini.
Dalam perkembangan sama, Azhar berkata, seramai 75 keluarga asnaf di sekitar bandar raya ini telah menerima kotak rezeki sebagai sebahagian program Santuni Asnaf bersama Maidam.
Beliau berkata, 10 pelajar Kolej Universiti TATI (UC Tati) dalam kalangan keluarga asnaf juga turut menerima manfaat wakalah zakat terbabiy menerusi sumbangan komputer riba.
“Menerusi wakalah zakat, kami berpeluang untuk menyalurkan bantuan secara lebih dekat kepada komuniti meliputi keperluan harian dan sokongan pendidikan.
“Ini cara kami berkongsi rezeki dan menzahirkan penghargaan kepada masyarakat yang terus menyokong McDonald’s Malaysia,” katanya.
Jelas Azhar, McDonald’s Malaysia berharap setiap sumbangan yang dilakukan oleh pihaknya akan memberi manfaat yang bermakna terhadap penerimanya.

No comments:
Post a Comment