BESUT – Dua remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan selepas dipercayai merogol remaja perempuan di Jerteh di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Rozaime Ab. Rahim berkata, tangkapan ke atas dua suspek itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang berusia 15 tahun.
“Mangsa mendakwa dirogol di sebuah rumah penginapan di Jerteh pada pukul 6 petang, semalam (kelmarin). Dia kemudiannya dibawa ke Hospital Besut untuk pemeriksaan lanjut,” katanya semalam.
Mohd. Rozaime berkata, dua remaja lelaki itu diberkas tidak lama kemudian bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan.
“Kesalahan jenayah seksual melibatkan golongan remaja dipandang serius oleh pihak berkuasa. Oleh itu golongan remaja dinasihatkan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan diri, menjaga batas pergaulan dan mengelak diri daripada terlibat situasi yang mendedahkan diri dengan risiko jenayah,” katanya.
Mohd. Rozaime turut mengingatkan ibu bapa supaya sentiasa memantau pergerakan dan pergaulan serta memberi bimbingan kepada anak-anak masing-masing.
No comments:
Post a Comment