KUALA NERUS – Timbalan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Khazan Che Mat meletakkan jawatan berkuat kuasa minggu hadapan.
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu itu berkata, beliau juga akan melepaskan jawatan Ketua Bahagian Bersatu Kuala Nerus.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir tersebut memberitahu, surat peletakan jawatan tersebut akan dikemukakan kepada kepimpinan Bersatu diterajui Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu depan.
“Saya menyertai Bersatu atas perlawaan Datuk Razali Idris pada 2016. Saya tidak fikir mahu memangku jawatan Ketua Pimpinan Bersatu negeri selepas beliau melepaskannya Khamis lalu.
“Keputusan ini juga mengambil kira pandangan ahli jawatan kuasa lain dan selepas menyelesaikan isu berbangkit di Pejabat Bersatu negeri,” katanya di sini semalam.
Jumaat lalu, Kosmo! melaporkan, Razali melepaskan jawatan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu dan Ketua Bersatu Bahagian Marang.
Langkah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu itu turut diikuti ADUN Telemong, Mohd. Zawawi Ismail dan Mohd. Husaimi Hussin (Hulu Besut) masing-masing sebagai Ketua Penerangan dan Bendahari badan pimpinan negeri.
Dalam pada itu, Khazan turut berkilan beberapa Bahagian Bersatu Terengganu gagal mengadakan mesyuarat ekoran kelewatan penggantian ketua bahagian oleh kepimpinan Bersatu pusat.
Katanya, Bahagian terjejas ialah Hulu Terengganu dan Besut selepas ketua bahagian digantung dan keluar parti.
“Bekas Ketua Bersatu Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid telah digantung keahlian, manakala Datuk Wan Ariff Rashiddin Wan Jusoh pula meletakkan jawatan sebagai Ketua Bersatu Bahagian Besut pada Jun lalu.
“Sampai hari ini, dua kekosongan itu tidak di isi malah ibu pejabat juga tidak secara rasmi melantik timbalan bahagian masing-masing sebagai pemangku,” katanya.
No comments:
Post a Comment