Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) mengambil inisiatif menjadikan Pasar Besar Kedai Payang di sini sebagai Pasar Patuh bagi memastikan premis perniagaan tumpuan pelancongan tersebut sentiasa mematuhi amalan perniagaan baik demi kepentingan pengguna.
Pengarah KPDN Terengganu, Mohd. Mufsi Lat berkata, kesemua lebih 200 lot perniagaan di Pasar Besar Kedai Payang telah diwajibkan untuk mempamerkan tanda harga dan label produk jualan masing-masing.
“Kebersihan produk juga dititikberat selain sebuah alat timbangan diletakkan di sudut strategik premis perniagaan tersebut bagi memudahkan pengguna membuat semakan berat produk dibeli mereka.
“Mereka boleh terus membuat aduan kepada KPDN sekiranya mengesyaki menjadi mangsa penipuan timbangan,” katanya di Pasar Besar Kedai Payang, di sini, hari ini.
Terdahulu ditemui selepas melancarkan Zon Tumpuan Pelancongan Patuh KPDN di premis pusat sehenti produk makanan dan kraftangan Terengganu berkenaan.
Mohd. Mufsi berkata, KPDN juga akan menempatkan pegawainya bagi memantau pematuhan amalan perniagaan baik di Pasar Besar Kedai Payang berkenaan.
Beliau berkata, tiga premis perniagaan ramai di negeri ini iaitu Pasar Binjai, Kemaman; Pasar Besar Dungun; Pasar Bukit Payung, Marang; dan Pasar Kampung Raja, Besut turut dijadikan Pasar Patuh dalam inisiatif sama.
“Selain itu, KPDN turut melaksanakan program Zon Persinggahan Patuh melibatkan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Perasing, Kemaman; Paka, Dungun; dan Ajil, Hulu Terengganu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:
Post a Comment