Translate

Monday, August 17, 2026

AADK saran saringan dadah semua juruterbang

BESUT – Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menyarankan semua syarikat penerbangan tempatan lain mengikut langkah Malaysia Aviation Group (MAG) mewajibkan saringan dadah terhadap kesemua juruterbang Malaysia Airlines. 

Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, inisiatif MAG insiden penahanan seorang seorang kakitangannya di Indonesia baru-baru ini bukan sahaja disambut baik malah agensinya bersedia menawarkan kepakaran membantu.

 “Jika sebelum ini kita memberi penekanan penguatkuasaan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandu kenderaan pengangkutan, mengapa tidak kepada juruterbang pesawat penerbangan? 

“Kita tidak boleh berkompromi penglibatan kakitangan sektor penerbangan yang memikul tanggungjawab besar keselamatan nyawa ribuan penumpang dalam aktiviti penyalahgunaan atau penyeludupan dadah,” katanya di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Tenang di sini semalam. 

Terdahulu beliau ditemui selepas merasmikan program Kampung Angkat Madani AADK di Felda Tenang di sini. 

Ruslin berkata, langkah MAG memperluaskan program saringan dadah mandatori terhadap semua juruterbang serta kru kabin aktif tersebut patut dipuji kerana ia mencerminkan komitmen tinggi terhadap usaha membanteras penyalahgunaan dan penyeludupan dadah. 

Beliau berkata, AADK bersedia membantu MAG menjalankan ujian penyalahgunaan dadah terhadap kru penerbangan termasuk juruterbang berkenaan. 

“Kita mahu memastikan setiap saringan dadah yang dijalankan dilaksanakan pada tahap integriti tertinggi. 

“MAG juga akan digalakkan menyertai program Tekad (Tempat Kerja Bebas Dadah) yang bertujuan mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan bebas ancaman najis dadah,” katanya.

 Ruslin berkata, AADK akan menawarkan latihan pengurusan risiko dan ujian kompetensi bagi memastikan penyelia MAG benar-benar bertauliah dalam melaksanakan ujian saringan, khidmat nasihat dan kepakaran pencegahan dadah. 

Kelmarin dilaporkan MAG mewajibkan semua juruterbang di bawah syarikat penerbangannya menjalani ujian air kencing bagi memperkukuh keselamatan dan kesesuaian untuk bertugas terhadap semua kru.

No comments:

Post a Comment