Oleh MOHD AZLI ADLAN
BESUT – Kadar penyalahgunaan dadah di Terengganu yang sebelum ini dikategorikan antara paling serius di negara ini menurun 7.2 peratus pada suku pertama tahun ini.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, seramai 7,582 penagih dadah direkodkan di negeri ini bagi tiga bulan pertama tahun ini berbanding 8,184 orang dalam tempoh sama tahun lalu.
Penurunan itu disumbang oleh pengurangan penagih sebanyak 20.6 peratus di daerah ini, Setiu (-16.5 peratus), Kemaman (-11.8 peratus), Marang (-11 peratus), Kuala Terengganu (-3.1 peratus), dan Hulu Terengganu (-1.3 peratus).
“Walau bagaimanapun kadar penagihan dadah di Dungun meningkat 8.4 peratus pada suku pertama tahun ini,” katanya di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Tenang di sini hari ini. Terdahulu beliau merasmikan program Kampung Angkat Madani AADK di Felda Tenang di sini.
Ruslin menegaskan penurunan angka itu hanyalah permulaaan kerana banyak isu penyalahgunaan dadah masih perlu ditangani di Terengganu antaranya peningkatan penagihan dalam kanak-kanak dan remaja berusia seawal 10 hingga 14 tahun pada suku pertama tahun ini.
“Penagih dalam kalangan kanak-kanak meningkat sebanyak 16.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:
Post a Comment