Translate

Wednesday, August 19, 2026

Guru agama didakwa ‘sentuh’ tiga pelajar lelaki

BESUT – Seorang guru agama mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal ke atas dua pelajar dan seorang murid lelaki berusia 11 tahun. 

Tertuduh, Muhammad Izzuddin Mohmad Asari, 31, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Fadhli Mahmud. 

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang mempunyai hubungan amanah sebagai guru didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun di koperasi sebuah sekolah di daerah ini pada pukul 4.30 petang, April 2025. 

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap mangsa sama dengan menyebabkan kanak-kanak itu melihat video bersifat seksual di lokasi, masa dan tarikh sama. 

Oleh itu, Muhammad Izzuddin didakwa mengikut Seksyen 14(d) dan Seksyen 15(e) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. 

Tertuduh turut didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki berusia 14 tahun di lokasi sama pada pukul 2.40 petang, Mei lalu dan didakwa mengikut Seksyen 14(a) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. 

Bagi pertuduhan keempat, Muhammad Izzuddin didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki berusia 13 tahun di lokasi sama antara pukul 9.15 dan 10.30 malam, 12 Jun lalu.

 Pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Akmal Mohd Jazlee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

Hakim membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM15,000 dan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan. Tertuduh juga tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

No comments:

Post a Comment