Translate

Monday, August 10, 2026

Peluang eksport ke Indonesia tidak kesampaian, simpanan RM58,500 lebur

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Hajat seorang juruteknik menceburi bidang perniagaan dengan memasuki pasaran Indonesia bukan sahaja tidak kesampaian malah kerugian RM58,500 akibat diperdaya sindiket penipuan atau ‘scammer’.

Wanita tersebut mendakwa telah terperdaya suspek yang kononnya menawarkan perkhidmatan mendapatkan sijil Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) daripada pihak berkuasa Indonesia untuk mengeksport produk makanan ke negara jiran itu.

Dia membuat laporan berhubung kes itu Balai Polis Chabang Tiga di sini pada pukul 12.54 tengah hari, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, juruteknik terbabit melihat iklan menawarkan peluang perniagaan mengeksport produk makanan ke Indonesia di laman Facebook pada pukul 9 malam, 23 Mac lalu.

“Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu telah memasuki kumpulan WhatsApp sebelum mengikuti taklimat seterusnya trip perniagaan tersebut yang berlangsung 15 hingga 17 Mei lalu.

“Dia yang dijanjikan kononnya syarikat terlibat memiliki sijil BPOM telah melakukan pembayaran keseluruhan RM58,500 bagi reruai produk biskut, bilis dan daging salai,” katanya di sini hari ini.

Azli berkata, pembayaran itu dilakukan menerusi 10 transaksi pindahan wang ke akaun bank diberikan suspek namun juruteknik itu tetap tidak diberikan sijil BPOM dijanjikan.

Beliau berkata, wanita itu akhirnya menyedari tertipu apabila mendapati dakwaan ‘syarikat pengeksportan’ terbabit mempunyai sijil BPOM sebenarnya palsu. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment