Translate

Monday, August 24, 2026

Liga Super: Sang Penyu mudah tewaskan Melaka FC

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Terengganu FC (TFC) yang kembali diterajui pengendali, Mohd. Nafuzi Zain membuka aksi pertama Liga Super dengan langkah kanan apabila mudah menewaskan Melaka FC 3-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini sebentar tadi.

Tuan rumah bermula garang apabila mendahului seawal minit ke-11 menerusi penyerang import, Gervane Kastaneer di hadapan 6,550 penyokong yang menyaksikan perlawanan tersebut.

Pemain skuad Piala Dunia Curacao itu bijak memanfaat hantaran pemain tengah import, Victor Ruiz Abril dengan meledak ke kiri gawang yang menewaskan penjaga gol Melaka, Khairul Fahmi Che Mat.

Giliran Abril pula menewaskan Khairul Fahmi pada minit ke-45 bagi membolehkan skuad Sang Penyu melebarkan kedudukan kepada 2-0.

Gawang Melaka yang dijaga bekas penjaga gol Harimau Malaya berkenaan terus bocor buat kali ketiga hasil ledakan Kastaneer yang menerima hantaran pemain gantian, Jordan Mintah pada minit ke-80.

Kastaneer hampir meledak hatrik namun jaringan ketiganya pada minit ke-90 dibatalkan kerana offsaid.

Skuad Sang Kancil cuba melawan namun percubaan pemain pertahanan import, Argzim Redzovic dan penyerang, Jafri Firdaus Chew masing-masing minit ke-18 dan 35 tidak menepati sasaran.

Pemain gantian, Ruventhiran hampir memberikan gol saguhati buat Melaka namun percubaaannya terkena palang biarpun penjaga gol TFC, Muhammad Rahadiazli Rahalim sudah tersalah langkah meninggalkan posisinya.

Kemenangan tersebut membolehkan TFC berada di tangga ketiga berkongsi tiga mata dengan pendahulu dan tempat kedua iaitu Selangor dan Johor Darul Ta’zim (JDT). – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment