Translate

Wednesday, November 1, 2017

Lepas kutip hutang, penjual kain Pakistan cabul suri rumah

KUALA TERENGGANU – Seorang penjual kain warga Pakistan ditahan polis semalam kerana disyaki mencabul seorang suri rumah di Kampung Tok Has, Besut pada Isnin lalu.

Lelaki berusia 35 tahun itu ditahan selepas seorang suri rumah berusia 29 tahun mengadu dipeluk manakala punggungnya pula diraba di rumah wanita itu pada pukul 11 pagi, 23 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, ketika kejadian, suspek telah berkunjung ke rumah mangsa untuk mengutip hutang kain.

“Sebaik mangsa menghulurkan wang tunai RM20 sebagai bayar hutang bulanan membeli kain tersebut di ruang tamu rumahnya, lelaki warga Pakistan itu tiba-tiba memeluknya.

“Suspek juga sempat meraba punggung mangsa sebelum wanita tersebut yang ketakutan telah bertindak melepaskan pelukan dan melarikan diri dari rumahnya,” katanya semalam.

Mohd. Zamri berkata, suspek yang menyedari perbuatannya tidak menerima respons baik telah bertindak keluar dari rumah tersebut selepas itu.

Menurut beliau, mangsa yang ketakutan terus membuat laporan di Balai Polis Jerteh, Besut kira-kira empat jam kemudian.

“Suspek ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.

No comments:

Post a Comment