Translate

Thursday, November 9, 2017

Terengganu impi kejuaraan Liga Premier

SKUAD Terengganu yang sudah layak ke saingan Liga Super musim depan berhasrat untuk menghadiahkan kejuaraan Liga Premier kepada penyokong tegar mereka, lapor MOHD. AZLI ADLAN.

Bagi merealisasikan impian itu, skuad Penyu berazam memberi persembahan terbaik menjinakkan PKNP FC pada aksi terakhir Liga Premier tersebut di Stadium Perak, Ipoh malam ini.

Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berkata,  beliau mengakui kemenangan terhadap anak buah Abu Bakar Fadzim masih belum mencukupi kerana mereka juga perlu mengharapkan pendahulu, Kuala Lumpur tumbang sewaktu melayan Johor Darul Ta'zim II (JDTII) di Pasir Gudang.

"Kami tidak mahu mensia-siakan sisa-sia peluang yang tinggal untuk menjulang trofi kejuaraan Liga Premier sebagai hadiah kepada peminat yang tidak henti-henti memberi sokongan kepada Terengganu sejak awal musim.

"Para pemain menjanjikan aksi terbaik untuk menumpaskan PKNP FC sambil kita juga perlu mengharapkan tuah agar Kuala Lumpur keciciran mata dalam aksi terakhir mereka," katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Irfan berkata, beliau dijangka menurunkan kesebelasan utama kecuali pertahanan kiri, Adib Aizuddin Ab. Latif untuk menghadapi skuad kendalian Abu Bakar Fadzim tersebut.

Bekas pengendali Felda United tersebut berkata, kehadiran Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu yang dijadual menonton aksi terakhir di Stadium Perak itu pasti akan menyuntik motivasi para pemain.

Sebelum ini, Terengganu dan pendahulu Kuala Lumpur yang sudah mengesahkan slot ke Liga Super musim depan masing-masing berkongsi 47 mata tetapi di pisahkan dengan perbezaan gol.

No comments:

Post a Comment