Translate

Friday, November 24, 2017

Dua nelayan bebas selepas 7 bulan ditahan pihak berkuasa Indonesia

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Dua nelayan lega dibebaskan pihak berkuasa Indonesia hari ini selepas ditahan selama lebih tujuh bulan kerana disyaki menceroboh perairan negara itu pada awal April lalu.

Kepulangan Mohd. Firdaus Mohamad, 27, dan Mohd. Zaidi Mohamad, 24, merupakan hasil inisiatif kerajaan negeri Terengganu itu disambut penuh emosi oleh ahli keluarga masing-masing.

Sebelum ini, dua lagi rakan mereka iaitu Mohd. Fadli Jaafar, 40, dan rakannya, Abdul Halim Nik, 43, telah berjaya dibebaskan dan kembali ke pangkuan keluarga masing-masing pada awal Ramadan lalu.

Tekong bot nelayan C2 berkenaan, Abdul Rashid Nik, 52, masih ditahan di dalam lokap di Pulau Terepat, Kepulauan Anambas, Indonesia dan masih dalam proses pembicaraan di mahkamah negara jiran tersebut.

Mohd. Firdaus berkata, dia dan Mohd. Zaidi dibebaskan pihak berkuasa Indonesia selepas mereka selesai memberi keterangan sebagai saksi kepada Abdul Rashid yang menghadapi pertuduhan menceroboh perairan negara itu di mahkamah pada 12 November lalu.

"Pengalaman lebih tujuh bulan di tahan di dalam lokap di Pulau Terepat telah memberi keinsafan kepada saya dan Mohd. Zaidi.

"Sepanjang berada di dalam lokap, saya sering terkenang isteri, Nur Rosmaniza Erna Abd. Rashir, 21, yang difahamkan terpaksa bekerja sebagai pembantu kedai makan untuk menyara hidup sepanjang ketiadaan saya," katanya ketika ditemui pemberita di Dataran Permata, Seberang Takir di sini hari ini.


Kosmo! 29 Mei lalu melaporkan bot nelayan yang dinaiki lima nelayan termasuk Mohd. Zaidi dan Mohd. Fauzi ditahan kapal Tentera Laut Indonesia kerana disyaki melepasi lima batu nautika perairan negara jiran itu berhampiran Pulau Natuna pada pukul 11.30 pagi, 8 April lalu. - K! ONLINE 

No comments:

Post a Comment