Translate

Tuesday, November 21, 2017

Rahmad ancam letak jawatan

PENGENDALI T-Team, Rahmad Darmawan mengancam untuk meletakkan jawatan sekiranya pasukan berstatus kelab itu terpaksa ‘turun pangkat’ beraksi dalam saingan Liga Premier musim depan.

Jurulatih berpe­ngalaman dari Indonesia itu berkata, cadangan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) tersebut amat mengejutkan dan mengecewakannya.

“Setakat ini, saya dimaklumkan pengurusan T-Team masih belum menerima ‘hitam putih’ tentang kemungkinan pasukan perlu beraksi pada Liga Premier musim depan walaupun ia sudah heboh diperkatakan sejak akhir-akhir ini.

“Ia sesuatu yang sangat mengejutkan kerana saya sudah merangka perancangan terbaik untuk membentuk pasukan yang lebih mantap bagi saingan Liga Super musim depan,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Rahmad berkata, selaku ketua jurulatih, beliau mempertahankan prestasi T-Team dan telah melakukan yang terbaik pada musim lalu bagi memastikan pasukan berstatus kelab tersebut kekal beraksi dalam saingan Liga Super.

Bekas pengendali pasukan bawah-23 tahun Indonesia itu berkata, beliau amat menyayangi­ T-Team sehingga telah menolak tawaran lumayan beberapa pa­sukan daripada Liga 1 Indonesia pada musim depan.

“Saya menolak tawaran-tawaran itu dengan harapan dapat menyelesaikan tugasan bersama T-Team dan kontrak saya masih ada sehingga berakhir musim depan (2018).

“Berdasarkan situasi semasa, saya hanya akan fikir kekal de­ngan T-Team jika kelab ini ber­aksi pada Liga Super. Jika bermain pada Liga Premier pula, keputusan saya mungkin sebaliknya,” katanya.

No comments:

Post a Comment