Translate

Monday, November 20, 2017

Banteras pencerobohan haram nelayan Vietnam

PENCEROBOHAN nelayan asing terutamanya Vietnam terhadap perairan negara termasuk wilayah Pantai Timur untuk menangkap ikan secara haram bukanlah isu yang baharu.

Ia semakin membarah sejak akhir-akhir ini dan terus menjadi kebimbangan dalam kalangan nelayan laut tempatan sehingga mendapat perhatian khusus Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

Semasa merasmikan program Gelombang Nelayan Nasional anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Pantai Kuala Kerteh, Kemaman, Terengganu pada bulan lalu, Ahmad Zahid telah me­ngarahkan pasukan keselamatan negara merangkumi Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Gerakan Marin dan Tentera Laut Diraja Malaysia memperkasa penguatkuasaan di perairan negara.

Menurutnya, pencerobohan nelayan asing itu telah menyebabkan negara kehilangan antara RM3 bilion hingga RM6 bilion hasil ikan setiap tahun.

Pengarah Maritim Daerah Terengganu, Kepten Maritim Rahim Ramli berkata, APMM dengan kerjasama Jabatan Perikanan komited dalam usaha membanteras pencerobohan nelayan asing di perairan Terengganu.

Beliau berkata, pihaknya berusaha menangani pencerobohan nelayan asing terutama di lokasi-lokasi panas iaitu Kuala Terengganu, Dungun dan Kemaman.

Katanya, biarpun berhadapan dengan keupayaan aset yang terhad, APMM Terengganu telah berjaya mematahkan lebih 20 aktiviti pencerobohan nelayan Vietnam.

Katanya, nilai rampasan meliputi bot nelayan Vietnam dan hasil tangkapan ikan adalah melebihi RM60 juta sejak awal tahun ini.

“Pada kebiasaannya, nelayan tersebut menceroboh Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) milik negara kita. Mereka menggunakan modus operandi mengecat bot masing-masing seperti milik nelayan tempatan selain mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Terengganu.

“Saya percaya lambakan nelayan Vietnam ini disebabkan kekurangan sumber di perairan negara mereka selain peranan petualang disyaki terdiri daripada rakyat tempatan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Komen Rahim itu berkait dengan kes penahanan 22 individu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dalam sindiket pencerobohan nelayan asing ke perairan negara pada minggu lalu.

Operasi besar-besaran yang diadakan di empat negeri iaitu Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak tersebut turut melibatkan pegawai APMM serta jurubahasa sambilan bagi membantu agensi pe­nguatkuasaan maritim berkomunikasi dengan nelayan Vietnam setiap kali tangkapan dilakukan.

Setakat ini, empat individu terlibat telah dihadapkan ke mahkamah di Kuala Terengganu dan Kuantan, Pahang atas pertuduhan memberi suapan kepada pegawai APMM.

Salah seorang daripada tertuduh tersebut ialah seorang tauke ikan Vietnam berusia 48 tahun. Dia telah membuat pengakuan bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Khamis lalu kerana memberikan RM100,000 kepada Pengarah Pangkalan APMM Kemaman sebagai dorongan untuk melepaskan dua bot nelayan yang telah disita.

Pengerusi Persatuan Nelayan Terengganu (Penentu), Mat Yassim Mohamed berkata, pembongkaran sindiket itu oleh SPRM sebagai tepat pada masanya dan merupakan permulaan baik dalam usaha membanteras masalah yang membelenggu nelayan laut dalam tempatan sejak sekian lama.

“Secara peribadi, saya kecewa jika siasatan mendapati terdapat segelintir pegawai penguat kuasa ma­ritim yang terpedaya dengan tawaran rasuah daripada sindiket pencerobohan nelayan asing terbukti benar.

“Nelayan-nelayan yang bernaung di bawah Penentu sering menyalurkan maklumat tentang sebarang pencerobohan nelayan Vietnam kepada agensi penguatkuasaan termasuk APMM demi mendapat pembelaan tetapi malangnya kepercayaan itu seolah-olah diragut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Mat Yassim berkata, pencerobohan itu telah memberi kesan besar terhadap periuk nasi nelayan tempatan terutama yang memegang lesen C2 iaitu nelayan laut dalam.

Katanya, nelayan asing itu juga menggunakan pukat ganding yang diharamkan di negara ini hingga memusnahkan kawasan terumbu karang dan tukun tiruan.

“Tidak ramai nelayan laut dalam tempatan berani menangkap ikan di kawasan melebihi 100 batu nautika dalam perairan negara sedangkan zon tersebut mempunyai ikan dalam jumlah yang banyak. Ini adalah ke­rana ancaman keselamatan daripada nelayan Vietnam yang segelintirnya memiliki senjata api,” katanya.

Sehubungan itu, Mat Yassim berharap operasi dilakukan SPRM itu tidak dilakukan secara bermusim sahaja dan perlu mempunyai kesinambungan bagi memastikan gejala sogokan itu dapat dibanteras sepenuhnya.

“Saya percaya ramai lagi tonto (orang tengah) yang masih terlepas dan mereka tidak pernah akan putus asa untuk menawarkan sogokan terhadap pegawai penguat kuasa. Ketatkan juga pemberian lesen C2 kepada tauke ikan Vietnam terutama di Pahang dan jangan teragak-agak untuk membatalkan lesen mereka jika penyalahgunaan dikesan,” katanya.

No comments:

Post a Comment