Translate

Sunday, November 5, 2017

Hanya 10 peratus nelayan tempatan teroka sumber ikan pada kedudukan lebih 100 batu nautika

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Hasil kajian Institut Sumber Marin Asia Terenggara (ISMAT) mendapati populasi sumber ikan plagik seperti bawal, tamban, tuna, selar dan kembung semakin banyak di perairan wilayah Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd. Nawi berkata, kebanyakan ikan plagik terbabit yang hidup secara berkumpulan pada kedalaman sehingga 200 meter dari permukaan laut berada pada kira-kira 100 hingga 200 nautika dari perairan negara.
Beliau berkata, malangnya sumber ikan plagik yang banyak ini tidak diteroka dengan sebaiknya oleh nelayan laut dalam tempatan (C2) kerana kebanyakan mereka hanya menjalankan aktiviti penangkapan ikan pada sekitar 30 batu hingga 100 batu nautika dari perairan negara.
"Ia antara punca yang memudahkan nelayan-nelayan asing mengambil kesempatan menceroboh perairan negara untuk mengaut sumber ikan plagik terbabit. Oleh itu, kita beri galakan supaya lebih ramai lagi nelayan laut dalam tempatan agar memberanikan diri menangkap ikan di kawasan yang kaya dengan sumber ikan plagik itu," katanya kepada pemberita.
Munir berkata, pihaknya menganggarkan tidak lebih 10 peratus daripada 1,190 bot nelayan C2 berdaftar di seluruh negara termasuk Pantai Timur yang menjalankan aktiviti penangkapan ikan di kawasan melebihi 100 batu nautika. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment