Translate

Tuesday, November 21, 2017

Kerajaan negeri Terengganu lancar TGTP bantu siswazah menganggur


Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Kerajaan negeri Terengganu melancarkan program Transformasi Siswazah Terengganu (TGTP) yang bertujuan membantu dan memberi latihan kemahiran tambahan kepada graduan menganggur kelahiran negeri tersebut.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, seramai 275 pelatih telah terpilih untuk menyertai projek perintis TGTP yang bakal bermula pada bulan depan.

Beliau berkata, pelatih terbabit akan menjalani latihan bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka di agensi dan syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) selama enam bulan sehingga Mei tahun depan.

"Kesemua pelatih itu akan menerima elaun bulanan sebanyak RM1,000. Sekiranya mempamerkan prestasi cemerlang, tempoh latihan mereka di bawah TGTP akan dilanjutkan selama enam bulan lagi seterusnya berpeluang diserapkan sebagai kakitangan tetap di agensi dan GLC negeri tersebut.

"Antara agensi dan GLC negeri yang mengambil bahagian ialah Terengganu Incorporated, Jabatan Pelancongan negeri, Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Yayasan Pembangunan Pembangunan Usahawan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau ditemui selepas merasmikan program TGTP yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri, A. Latiff Awang. - K Online!


No comments:

Post a Comment