Translate

Saturday, November 25, 2017

Wanita maut, suami dan dua anak cedera akibat kereta terbabas di LPT2

DUNGUN - Seorang ejen insurans wanita maut manakala suami dan dua anaknya cedera ringan selepas kereta Perodua Alza yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 343.8 Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) berhampiran Paka dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 10.05 pagi itu, Noorhafizah Omar, 31, yang tercampak keluar dari kereta Perodua Alza yang dipandunya telah meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan untuk menerima rawatan di Hospital Dungun di sini.

Suaminya, Mohd. Azlan Ismail, 31, yang merupakan seorang juruukur dan dua anak mereka, Mohd. Adam Haikal, 5, dan Nor Alisya Sufas, 3, terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaakob berkata, sewaktu kejadian, mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke kampung Mohd. Azlan di Kampung Teras Mentuan, Kota Bharu, Kelantan dari Kapar, Selangor.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Perodua Alza yang dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke tepi jalan. Impak daripada kemalangan itu, mangsa telah tercampak keluar dari kereta menerusi cermin hadapan kereta terbabit," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment