Translate

Saturday, November 11, 2017

Tauke bot nelayan mengaku salah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang tauke nelayan warga Vietnam mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan memberi suapan sebanyak RM100,000 kepada Pengarah Pengkalan Maritim Malaysia (APMM) Kemaman pada Ahad lalu.

Tran Van Seng, 48, membuat pengakuan itu di  hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Mengikut pertuduhan, Van Seng bersama pasangan suami isteri, Abd. Rauf Mohamed, 36 dan Sa Ly Hah, 29, didakwa memberi suapan RM100,000 kepada Pegarah Pengkalan Maritim Kemaman, Leftenan Komander Maritim Muhammad Rezal Kamal Bashah di Restoran Kampung Meraga Beris, Resort World Kijal, Kemaman pada pukul 12.50 tengah hari, 5 November lalu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan sebagai dorongan untuk melepaskan dua bot nelayan Vietnam yang dirampas kerana menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan secara haram.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Abd. Rauf dan Ly Hah membuat pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan sama dan minta dibicarakan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh diwakili peguam bela, Rozilawati Mat Hassan.

Mohamad Haldar kemudian membenarkan Abd. Rauf dibebaskan dengan wang jaminan RM40,000 selain pasport antarabangsanya perlu diserahkan kepada mahkamah.

Ly Hah dan Van Seng pula tidak dibenarkan untuk diikat jamin kerana merupakan warga asing.

Mahkamah menetapkan 28 November ini untuk sebutan semula kes.

Kosmo! 7 November lalu melaporkan seramai 22 individu termasuk penjawat awam dan warga Vietnam ditahan dalam Ops Armada berhubung sindiket pencerobohan nelayan Vietnam melibatkan rampasan RM1.9 juta.

No comments:

Post a Comment