Translate

Monday, November 6, 2017

Empat bersaudara maut, kereta Proton Saga rempuh bas



Oleh MOHD. AZLI ADLAN
MARANG - Empat bersaudara yang dalam perjalanan pulang daripada menghadiri kenduri perkahwinan maut selepas kereta Proton Saga Aeroback yang dinaiki merempuh sebuah bas persiaran di Jalan Kuala Terengganu - Kuantan berhadapan Penjara Marang di sini petang tadi.
Dalam kejadian pada pukul 6.40 petang itu, Mohd. Sari Muda, 52, isteri, Mizah Mamat, 52, dan anak perempuannya, Saerah Saari, 18, serta anak saudara mereka, Nur Adibah Ramli, 19, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pemandu bas persiaran, Abdul Jalil Awang, 56, dan 30 penumpang yang merupakan murid dan guru pengiring Sekolah Rendah Kebangsaan Sungai Baging, Cherating, Kuantan, Pahang terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Suhaimi Ali berkata, sewaktu kejadian, kereta dinaiki Mohd. Sari dan tiga ahli keluarganya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Jerung Surau di sini daripada menghadiri kenduri perkahwinan di Kerteh, Kemaman.
Beliau berkata, bas persiaran yang membawa rombongan murid sekolah rendah terbabit pula dalam perjalanan pulang ke Cherating, Kuantan dari Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu, Chendering, Kuala Terengganu.
Sementara itu, Abdul Jalil mendakwa kereta yang dinaiki keempat-empat mangsa dilihat meluncur laju sebelum terbabas ke laluan bertentangan pada jarak kira-kira 500 meter dari kenderaannya.
"Dua buah kereta di hadapan berjaya mengelak kereta Proton Saga tersebut. Saya juga cuba mengelak dengan memasuki laluan bersebelahan.
"Begitu pun kereta itu tiba-tiba memasuki laluan asalnya dan merempuh hadapan bas yang saya pandu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment