Translate

Wednesday, November 22, 2017

Tiga jam cari mayat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Berang di sini mengambil masa selama tiga jam 20 minit untuk mengeluarkan mayat seorang pemandu treler yang tertimbus di bawah timbunan bijih besi kelmarin.

Mayat B. Jeganathan, 38, ditemui tertimbus selepas treler membawa muatan batu amang (bijih besi) yang dipandunya terbabas lalu terjunam ke dalam gaung di Kilometer 83 Jalan Aring-Sungai Gawi berhampiran Pusat Konservasi Gajah Kenyir dekat sini.

Kejadian pada pukul 3 petang itu hanya disedari sejam 16 minit kemudian oleh orang ramai sebelum menghubungi pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superinten­dan Mohd. Adli Mat Daud berkata, mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan badan.

“Siasatan awal mendapati sebaik hendak melalui selekoh tajam di situ, treler dipandu mangsa te­lah hilang kawalan sebelum terbabas lalu terhumban ke gaung sedalam 9.14 meter.

“Ketika ditemui, mayat mangsa telah tersepit di tempat duduk pemandu dan tertimbus di bawah timbunan batu amang (bijih besi),” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Tambahnya, mangsa yang berasal dari Shah Alam, Selangor itu dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan ke sini.

Menurut Mohd. Adli, bomba yang tiba pada pukul 7.31 malam mengambil masa kira-kira tiga jam 20 minit untuk mencari dan mengeluarkan mayat mangsa yang tertimbus itu.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu di sini untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga.

No comments:

Post a Comment