KUALA TERENGGANU - Gara-gara mencuri barangan dan perabot di sebuah rumah sewa pada dua bulan lalu, seorang ibu tunggal dijatuhi hukuman penjara 10 bulan serta denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Abdul Hayyi Salim memerintahkan demikian selepas Aizam Abd. Aziz, 44, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Berdasarkan pertuduhan, Aizam didakwa menyalahguna harta milik Sharifah Salwa Syed Shafie, 43, secara curang di sebuah rumah sewa di Taman Semarak, Bukit Tunggal, Kuala Nerus pada pukul 11 pagi, 30 September lalu.
Tertuduh didakwa melarikan harta milik mangsa iaitu lima unit penyaman udara, dua katil dan tilam, seunit mesin basuh, seunit peti sejuk, satu set meja makan dan seunit kabinet televisyen.
Dia juga didakwa melarikan sebuah televisyen, sebuah sofa, dua set meja, sebuah seterika bersama papan penggosok, seunit tong gas, 13 unit bantal dan pelbagai peralatan dapur dari rumah yang disewanya.
Aizam didakwa mengikut Seskyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dari enam bulan hingga lima tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment