Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Hasil kajian Institut Sumber Marin Asia Terenggara (ISMAT) mendapati populasi sumber ikan plagik seperti bawal, tamban, tuna, selar dan kembung semakin banyak di perairan wilayah Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd. Nawi berkata, kebanyakan ikan plagik terbabit yang hidup secara berkumpulan pada kedalaman hingga 200 meter dari permukaan laut berada pada kira-kira 100 hingga 200 nautika dari perairan negara.
Bagaimanapun, beliau berkata, malangnya sumber ikan plagik yang banyak ini tidak diteroka dengan sebaiknya oleh nelayan laut dalam tempatan (C2) kerana kebanyakan mereka hanya menjalankan aktiviti penangkapan ikan pada sekitar 30 batu hingga 100 batu nautika dari perairan negara.
“Ia antara punca yang memudahkan nelayan-nelayan asing mengambil kesempatan menceroboh perairan negara untuk mengaut sumber ikan plagik terbabit.
“Oleh itu, kita beri galakan supaya lebih ramai lagi nelayan laut dalam tempatan agar memberanikan diri menangkap ikan di kawasan yang kaya dengan sumber ikan plagik itu,” katanya selepas melancarkan nama baharu Jabatan Pengurusan dan Pembangunan Sumber Ikan Marin kepada ISMAT di Pusat Pembangunan Perikanan Asia Terengganu, Chendering di sini semalam.
Munir berkata, pihaknya menganggarkan tidak lebih 10 peratus daripada 1,190 bot nelayan C2 berdaftar di seluruh negara termasuk Pantai Timur yang menjalankan aktiviti penangkapan ikan di kawasan melebihi 100 batu nautika.
Menurutnya, sekiranya kekayaan sumber ikan plagik yang terdapat di perairan laut dalam itu dieksploitasi oleh nelayan laut dalam tempatan, beliau percaya nilai pendaratan ikan yang kini berjumlah RM36 bilion setahun mampu dipertingkatkan.
“Ia sekali gus mengurangkan kehilangan sumber marin yang ditangkap secara haram oleh nelayan asing yang dianggarkan kira-kira RM2 bilion setahun,” katanya.
No comments:
Post a Comment