Translate

Monday, November 27, 2017

Rahmad tolak tawaran kemudi TFC2

KUALA TERENGGANU - Ketua Jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan meletakkan jawatan setelah pasukan berstatus kelab itu yang dijenamakan semula sebagai Terengganu Football Club 2 (TFC2) disahkan bakal bermain pada saingan Liga Premier pada musim depan.

Beliau yang juga jurulatih berpengalaman dari Indonesia berkata, keputusan untuk meninggalkan T-Team diambil selepas mengadakan pertemuan empat mata dengan Timbalan Presiden 1 Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Nawawi Wan Ismail pada malam kelmarin.

"Pada pertemuan itu, PBSNT telah menawarkan saya kontrak untuk membimbing TFC2 tetapi saya dengan berat hati terpaksa menolaknya.

"Saya lebih gemar akan cabaran dan masih belum bersedia untuk melatih pasukan yang dijadikan feeder club (kelab pelapis)," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Kelmarin, PBSNT dalam kongres tahunannya telah meluluskan pelan penstrukturan semula semua pasukan bola sepak Terengganu dengan menggunapakai sistem feeder yang mengandungi lima pasukan.

Presiden PBSNT, Datuk Seri Abdul Razif Abd. Rahman berkata, TFC 1 akan menjadi pasukan utama yang akan beraksi pada saingan Liga Super manakala empat pasukan pelapis lain masing-masing akan bermain pada saingan liga bawahan. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment