Translate

Tuesday, November 21, 2017

The Titans rayu cadangan beraksi 
di liga kedua dibatal

SPEKULASI hanya satu pasukan bola sepak Terengganu beraksi untuk saingan Liga Super pada musim depan amat mengejutkan Persatuan Bola Sepak Daerah Kuala Terengganu (PBDKT) yang menaungi kelab T-Team.

Peranca­ngan itu sekiranya menjadi realiti akan menyebabkan The Titans yang menduduki tempat kelapan dalam Liga Super musim ini terpaksa beraksi dalam sai­ngan Liga Premier tahun depan.

Cabaran untuk menghadapi persaingan se­ngit dalam Liga Super mu­­sim depan dikatakan akan hanya digalas oleh Terengganu FA yang muncul naib juara Liga Premier baru-baru ini.
Presiden PBDKT, Mohamad Sekanther Abdul Hamid berkata, desas-desus itu mengejutkan, apatah lagi setakat ini pihaknya masih belum menerima ‘hitam putih’ berhubung keputusan tersebut daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

“Jika benar, saya mohon PBSNT mengkaji semula keputusan itu kerana ia tidak adil buat T-Team yang telah bertungkus lumus mengekalkan ke­dudukan dalam Liga Super pada musim ini.

“Perancangan hanya meletakkan satu pasukan dalam Liga Super musim depan juga bakal memberi kesan negatif kepada T-Team dan pemba­ngunan sukan bola sepak di Terengganu,” katanya.

Mohamad Sekanther berkata, berdasarkan desas-desus yang tersebar di media sosial sejak kelmarin, pasukan Piala Presiden T-Team juga terpaksa dibubarkan ke­rana PBSNT turut mahu satu pasukan mewakili Terengganu pada saingan peringkat pembangunan sukan bola sepak tersebut.

Menurut beliau, ia pasti memberi kesan kepada pemain-pemain skuad Piala Presiden T-Team yang bukan sahaja berbakat tinggi, malah masih mempunyai kontrak dengan pasukan sehingga tahun 2019.

“Kita perlu fikir masak-masak hala tuju bola negeri. Apa pun, saya masih belum dimaklumkan oleh PBSNT dan percaya ia masih dalam peringkat perbincangan,” katanya.

No comments:

Post a Comment