KUALA LUMPUR – Pelakon Putri Mardiana Zainal Abidin, 34, dan pasangannya, Shahrizam Abdullah, 31, masing-masing dijatuhi hukuman denda maksimum RM3,000 oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini semalam setelah mengaku bersalah atas pertuduhan berkhalwat tahun lalu.
Kedua-dua tertuduh yang mengaku tidak bersalah pada kali pertama kes itu disebut di mahkamah sama pada 23 Jun lalu telah menukar pengakuan pada sebutan semalam di hadapan Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin.
Putri Mardiana dan Shahrizam memberitahu mahkamah, pengakuan bersalah itu dibuat bagi membolehkan kes khalwat terbabit diselesaikan segera kerana mereka berdua sudah tidak tahan lagi dengan kecaman peminat di media sosial.
Pelakon yang pernah membintangi filem Ngangkung dan Santau yang juga janda beranak tiga memberitahu, dia turut risau dengan emosi anak perempuan sulungnya berusia 12 tahun yang mengambil keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah semalam.
Shaiful memutuskan hukuman denda RM3,000 atau tujuh hari penjara terhadap Putri Mardiana dan Shahrizam agar ia menjadi pengajaran kepada kedua-dua tertuduh.
Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam membayar denda tersebut.
Putri Mardiana dan Shahrizam ditahan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor di rumah Putri Mardiana di Jalan Ukay Perdana, Hulu Klang, Selangor pada pukul 3.03 pagi, 14 Disember lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 29(1) A Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dan Seksyen 29(1)B akta yang sama.
No comments:
Post a Comment