KUALA LUMPUR – Sambutan Deepavali pada tahun ini amat bererti buat keluarga seorang ibu tunggal, N. Letchumi apabila dikunjungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di rumahnya di Taman OUG, Jalan Klang Lama di sini semalam.
Najib meluangkan masa untuk singgah ke rumah Letchumi untuk beramah mesra dengan keluarga wanita warga emas itu di sebalik jadual padat menghadiri majlis rumah terbuka Deepavali anjuran pelbagai pihak.
Perdana Menteri berkata, Letchumi merupakan contoh rakyat negara ini yang telah berjaya dibantu kerajaan untuk membina kehidupan mereka biarpun pernah menghadapi saat-saat sukar.
“Mungkin tidak ramai yang tahu kisah beliau yang mengalami kesusahan dalam hidup apabila suaminya meninggal dunia 31 tahun lalu dan kemudiannya dengan bantuan kerajaan dapat meneruskan kehidupan dengan jayanya.
“Kejayaan itu kini membolehkan beliau membantu orang lain dengan memberi khidmat nasihat kepada mereka yang perlu kepada bantuan kerajaan,” kata beliau dalam catatan entri terbaharu laman Facebook rasminya semalam.
Najib berkata, inisiatif Letchumi merupakan sumbangan mulia dan beliau berharap lebih ramai lagi dapat mencontohi wanita warga emas itu.
Dalam pada itu, Letchumi berkata, dirinya sangat bertuah kerana mendapat peluang bersua dengan Perdana Menteri dan menganggap usahanya selama ini membantu golongan kurang bernasib baik terutama ibu tunggal tidak sia-sia.
“Saya sendiri adalah ibu tunggal, jadi saya tahu dan faham kesusahan menguruskan rumah tangga serta anak-anak seorang diri dan saya tidak mahu orang lain berasa susah seperti saya.
“Bila Perdana Menteri datang, saya sangat gembira dan lebih bersemangat membantu orang susah sebab beliau pesan agar terus berbakti kepada semua tidak kira latar belakang kerana kita umpama keluarga,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.
No comments:
Post a Comment