Translate

Tuesday, November 24, 2015

Jamil Khir saman Akmal Nasrullah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Jamil Khir Baharom semalam memfailkan saman fitnah berjumlah RM10 juta terhadap Pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW), Akmal Nasrullah Mohd. Nasir.

Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, tuntutan saman itu bertujuan untuk membersihkan nama Ahli Parlimen Jerai terbabit yang dituduh telah menyalah guna wang Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapiem) untuk perjalanan ke luar negara oleh Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat Johor Bahru itu baru-baru ini.

“Defendan (Akmal Nasrullah) telah menerbitkan kenyataan berunsur fitnah dan tidak benar terhadap plaintif (Jamil Khir) di laman Facebook NOW pada 13 November lalu.

“Walaupun plaintif telah menuntut Akmal Nasrullah untuk memohon maaf dan menarik balik kenya­taannya, namun satu lagi kenyataan berunsur fitnah telah dimuat naik defendan pada 14 November lalu,” katanya ketika ditemui di lobi Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Terdahulu Jamil Khir dan peguam, Adnan Seman te­lah memfailkan saman tersebut di kaunter pendaftaran mahkamah terbabit.

Shafee berkata, ken­yataan yang dibuat Akmal Nasrullah menggambarkan seolah-olah Jamil Khir yang merupakan Menteri yang menjaga hal ehwal Islam di negara ini sebagai individu korup dan tidak amanah.

Menurut beliau, kenyataan yang menjatuhkan reputasi Jamil Khir itu juga telah diakses jutaan pengamal media sosial menerusi aplikasi seperti Facebook, Twitter, WhatsApp dan Telegram.

“Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teruk dan pengajaran serta permohonan maaf defen­dan di laman web NOW dan akhbar-akhbar tempatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment