Translate

Wednesday, November 4, 2015

Produk inovasi perlu ada nilai komersial tinggi


KUALA LUMPUR – Penyelidik tempatan diseru agar menghasilkan produk inovasi yang mempunyai nilai komersial tinggi untuk dipasarkan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, produk tersebut bukan sahaja memenuhi keperluan ramai malah boleh dijual pada harga yang mampu milik.

“Kita memang banyak produk inovasi yang te­lah memenangi anugerah hingga ke peringkat antarabangsa tetapi amat kurang mempunyai nilai komersial.

“Sepatutnya penciptaan produk inovasi difokuskan bagi tujuan memudahkan pekerjaan dan kehidupan seharian masyarakat negara ini,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Inovasi Majlis Amanah Rakyat (Mara) 2015 di sini semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad.

Menurut Ismail Sabri, produk inovasi yang dihasilkan juga perlu dipatenkan bagi memelihara pemilikan hak cipta.

Katanya, sebelum ini terdapat beberapa kes pereka asal telah kehilangan hak cipta apabila ada individu lain yang mengambil ke­sempatan mempatenkan produk mereka.

“Semalam (kelmarin) semasa perjumpaan dengan pengusaha vape (rokok elektrik), saya dimaklumkan ada percubaan seorang individu untuk mempatenkan pemilikan eksklusif reka bentuk vape.

“Mujurlah MyIpo (Perbadanan Harta Intelek Malaysia) tidak meluluskan, jika tidak pengusaha vape tempatan mungkin perlu membayar royalti kepada individu itu untuk meneruskan perniagaan,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment