Translate

Thursday, November 26, 2015

Pemandu lori didakwa membunuh

TANJUNG MALIM – Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan membunuh seorang pekerja pusat pe­ngumpulan bara­ngan lusuh yang ditemui dipenggal kepalanya dua minggu lalu.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Muhamad Naji Saad, 35, yang hanya me­ngangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Syahdatul Kamilah Zakaria
Mengikut pertuduhan, Muhammad Naji yang beralamat di Taman Meru Raya, Ipoh didakwa membunuh K. Ganesan, 50, di tepi jalan Kampung Batu 4, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur arah Slim River pada pukul 2.30 pagi, 13 November lalu.
Muhamad Naji yang juga bapa kepada dua anak didakwa mengikut Sek­syen 302 Kanun Ke­seksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit ke­salahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fahrul Razi Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Syahdatul Kamilah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selain menetapkan 4 Ja­nuari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen laporan kimia dan bedah siasat.
Kosmo! 14 November lalu melaporkan, seorang pemandu lori bertindak membawa balik kepala seorang lelaki yang dipenggalnya sejauh kira-kira 220 kilometer selepas mencampak mayat lelaki tanpa kepala itu di dalam longkang di Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat Slim River di sini,
Suspek dipercayai telah memenggal kepala Ganesan hingga putus kemudian meninggalkan badan mangsa di dalam longkang sebelum membawa kepala mangsa pulang ke rumah keluarganya di Gerik untuk ditanam.
Polis menahan lelaki itu dalam satu serbuan kira-kira pukul 4 petang hari yang sama di rumah keluarganya di Lawin, Gerik ketika dia sedang makan tengah hari sebelum suspek menunjukkan lokasi kepala mangsa disimpan iaitu di atas timbunan guni yang berada kira-kira 100 meter dari bahagian hadapan rumahnya.

No comments:

Post a Comment