GOMBAK – Bekas penaung Kelab Kebajikan dan Sosial Tun Teja Malaysia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang di sini semalam atas 75 pertuduhan memperdaya 101 ahli badan bukan kerajaan (NGO) terbabit melibatkan kerugian hampir RM4 juta kira-kira tiga tahun lalu.
Tertuduh, Badarudin Mohd. Yusoff (gambar), 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika kesemua pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Majistret Namirah Hanum Mohamed Al Baki.
Mengikut pertuduhan, Badarudin didakwa bersama-sama isterinya, Nor Hashima Darus, 44, telah memperdaya mangsa-mangsa yang berusia antara 29 hingga 73 tahun untuk menyerahkan wang tunai antara RM3,800 hingga RM1.38 juta berjumlah RM3,837,600 bagi menyertai skim pelancongan, pelaburan dan kayu gaharu yang mana keuntungan pelaburan tersebut tidak boleh diwujudkan.
Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di Jalan Bandar Rawang 16, Rawang, Hulu Selangor dari Januari 2012 hingga Disember 2013.
Pendakwaan untuk isterinya yang merupakan bekas Yang Dipertua Kelab Kebajikan dan Sosial Tun Teja Malaysia sepatutnya dibaca bersama semalam, namun telah ditangguhkan pada 12 Januari depan setelah wanita yang sarat hamil tujuh bulan itu dikejarkan ke Hospital Selayang kira-kira sejam sebelum dihadapkan ke mahkamah kerana mengalami tekanan emosi.
No comments:
Post a Comment