Translate

Tuesday, November 10, 2015

Fasa pertama hujan lebat musim tengkujuh tidak berlaku


KUALA LUMPUR – Kawasan Pantai Timur Semenanjung dan barat Sarawak dijangka terselamat daripada dilanda banjir dalam masa terdekat berikutan ketiadaan luruan sejuk kuat yang boleh menyebabkan hujan lebat monsun di kawasan terbabit ketika ini.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Datuk Che Gayah Ismail (gambar) berkata, pencerapan cuaca mendapati episod hujan lebat monsun yang boleh membawa kepada bencana banjir tidak akan berlaku sehingga Jumaat ini.
“Sebelum ini kita menjangkakan fasa pertama episod hujan lebat monsun berlaku antara 1 hingga 13 November ini.
“Namun luruan sejuk (ledakan keluar udara sejuk yang kuat) yang berlaku pada masa ini tidak cukup kuat untuk menyebabkan hujan lebat di Pantai Timur terutamanya Terengganu dan Kelantan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Che Gayah berkata, begitupun, kemungkinan untuk banjir berlaku di kawasan terbabit tetap ada apabila tiga lagi fasa hujan lebat dijangka melanda sepanjang monsun Timur Laut yang berlangsung sehingga Mac tahun depan.
Beliau berkata, berdasarkan jangkaan awal, negeri-negeri di Pantai Timur bakal mengalami banjir pada bulan November ini hingga Januari tahun hadapan manakala barat Sarawak pula akan mengalami fenomena sama mulai Januari hingga Februari 2016.


“Walau bagaimanapun, risiko bencana banjir besar ekstrem seperti tahun lalu dijangka berkurang berikutan kehadiran fenomena El Nino berintensiti kuat pada waktu ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Che Gayah memberitahu, hujan lebat dan lembap yang melanda kebanyakan lokasi di seluruh negara ketika ini dijangka bakal berterusan sehingga Ahad depan.

Menurut beliau, sepanjang tempoh itu, Pantai Timur dan timur Sabah akan mengalami hujan pada waktu pagi manakala hujan lebat dan ribut petir pula dijangka melanda kebanyakan lokasi di Semenanjung, pedalaman dan timur Sabah serta pedalaman Sarawak pada sebelah petang dan awal malam.


No comments:

Post a Comment