Translate

Tuesday, November 10, 2015

Bina loji tampung keperluan air


Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Selangor akan membina dua buah loji ra­watan air baharu bernilai RM800 juta mulai tahun depan sementara menanti siapnya projek Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 (Langat 2) yang dijangka siap dua tahun lagi.
Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, dua LRA baharu itu ialah LRA Semenyih 2 di Jenderam Hilir, Semenyih dan LRA Labohan Dagang di Kuala Langat.

Menurutnya, projek pembinaan kedua-dua loji berkenaan menelan belanja sebanyak RM800 juta dan ia berupaya menghasilkan 500 juta liter air terawat setiap hari bagi menampung permintaan kira-kira 2.2 juta pengguna di Lembah Klang meliputi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Berdasarkan rekod, sebanyak 4,700 juta liter air dikeluarkan setiap hari berbanding permintaan sebanyak 4,600 juta liter air.

“Proses tender bagi LRA Semenyih 2 dan LRA Labohan Dagang masing-masing dijangka bermula pada bulan depan dan Mac 2016. Kedua-dua projek itu dijangka siap dalam tempoh 18 hingga 24 bulan,” katanya selepas melakukan lawatan kerja di Ibu Pejabat Syarikat Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) di Jalan Pantai Baharu di sini semalam.

Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd., anak syarikat penuh kerajaan negeri secara rasmi mengambil alih pengurusan operasi Syabas dan Puncak Niaga Sdn. Bhd. pada 15 Oktober lepas menerusi pelan penstrukturan semula industri air negeri.

Mohamed Azmin membe­ritahu, kesemua projek tersebut merupakan persiapan kerajaan negeri selepas dimaklumkan tentang kemungkinan projek Langat 2 yang sepatutnya siap pada 2017 akan menghadapi kelewatan selama 24 bulan.

No comments:

Post a Comment