Translate

Monday, February 10, 2014

Rebah di garisan penamat

Oleh SUHANA MD. YUSOP  dan MOHD. AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

PUTRAJAYA - Program konvoi berbasikal sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan Tahun Melawat Malaysia 2014 di sini semalam yang disertai lebih 6,000 warga kota bertukar tragedi apabila seorang peserta maut selepas rebah akibat sesak nafas.
Kejadian berlaku sejurus mangsa, Shariful Mazlan Mahasan, 34, yang mengakhiri kayuhan tiba di garisan penamat di Dataran Putrajaya di sini kira-kira pukul 12 tengah hari.
Konvoi sejauh kira-kira 50 kilometer itu bermula pada pukul 8.15 pagi di Dataran Putrajaya menuju ke Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil dekat sini dan kemudian kembali di Dataran Putrajaya.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid berkata, sebaik tiba di garisan penamat, mangsa yang bekerja sebagai pelukis pelan dan berasal dari Klang, Selangor tiba-tiba terjatuh basikal dan terbaring di tepi jalan.

"Dia kemudian diberi bantuan kecemasan oleh orang ramai sebelum dibawa ke Hospital Putrajaya.

"Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di hospital kira-kira pukul 1 petang akibat sesak nafas dan bedah siasat sedang dijalankan," katanya ketika dihubungi di sini.

Program berkenaan anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan dan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan dengan kerjasama beberapa pihak termasuk Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur, Perbadanan Putrajaya (PPj), Kementerian Kesihatan dan Kementerian Belia dan Sukan.

Terdahulu sebelum kejadian, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bersama Ketua Setiausaha kementeriannya, Datuk Seri Adnan Md. Ikhsan dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Aseh Che Mat melepaskan para peserta konvoi pada pukul 8.15 pagi.

Tengku Adnan Tengku Mansor pada sidang akhbar berkata, sasaran awal penganjur bagi program tahunan itu seramai 5,000 peserta, namun penyertaan kali ini didapati melebihi jumlah sasaran tersebut.

Menurut beliau, penganjuran program itu adalah untuk memupuk semangat kecintaan terhadap Wilayah Persekutuan di samping mengeratkan hubungan antara peserta.

Berdasarkan rekod, tahun pertama penganjuran telah menarik seramai 900 orang peserta, diikuti tahun lepas seramai 2,500 orang peserta.

No comments:

Post a Comment