Translate

Wednesday, February 26, 2014

Kerajaan kaji bina pelabuhan ketiga

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

PELABUHAN   KLANG  - Kerajaan sedang mengkaji untuk membina  terminal   pelabuhan  ketiga di  Pelabuhan   Klang  di sini bagi memenuhi permintaan perdagangan antarabangsa yang semakin berkembang pesat.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi berkata, kajian tersebut dijangka siap sepenuhnya pada tahun hadapan.

"Setakat ini kita sedang mengkaji kesesuaian antara dua lokasi yang telah dikenalpasti di sekitar  Pelabuhan   Klang  bagi pembinaan  terminal  ketiga ini.

"Terminal  baharu ini disasarkan mampu mengendalikan kontena sebanyak 30 juta TEU (unit bersamaan 20 kaki) setahun," katanya selepas merasmikan dermaga baharu, Dermaga 8A di  Pelabuhan  Utara kendalian Northport (Malaysia) Berhad di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi NCB Holdings Berhad, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, Pengerusi Northport, Tan Sri Wan Abdul Rahman Wan Yaacob dan Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Abi Sofian Abdul Hamid.

Ab. Aziz berkata, buat masa ini,  Pelabuhan   Klang  mempunyai dua  terminal   pelabuhan  iaitu  Pelabuhan  Utara dan  Pelabuhan  Barat yang mengendalikan kontena purata 10 juta TEU setahun.

Menurut beliau,  Pelabuhan   Klang  kini merupakan  pelabuhan  ke-12 tersibuk di dunia yang merupakan hab pengendalian kontena terbesar di negara ini.

Dalam perkembangan sama, Ab. Aziz memuji langkah pengurusan  Pelabuhan  Utara, Northport melancarkan Dermaga 8A yang dilengkapi kren termoden yang mampu mengendalikan kontena dari kapal dagang setinggi 17 meter.

"Dermaga baharu dengan kos RM350 juta ini mampu mengendalikan tambahan kontena sebanyak 600,000 TEU. Buat masa ini,  Pelabuhan  Utara mengendalikan kontena sebanyak lima juta TEU setahun.

"Saya juga mengesyorkan kesemua  pelabuhan  di negara ini turut menaik taraf kemudahan agar lebih kompetitif supaya mampu bersaing dengan  pelabuhan - pelabuhan  milik negara jiran," katanya.

No comments:

Post a Comment