Translate

Sunday, February 9, 2014

Zainal setuju bayar nafkah anak

SHAH ALAM – Pengulas sukan, Zainal Abidin Abd. Rawop bersetuju membayar nafkah bulanan sebanyak RM4,700 sebulan kepada tiga orang anaknya yang kini di bawah jagaan bekas isteri di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.
Beliau yang diwakili peguam Syarie, Norhasliza Dzulkepeli memaklumkan demikian kepada Hakim Azmi Aziz selepas mencapai persetujuan bersama berhubung tuntutan nafkah tersebut dengan Kristina Zuhana Kamarolzaman, 43.
Selain itu, pengulas sukan tersebut turut bersetuju untuk menunaikan nafkah tahunan kepada anak-anaknya yang kini berusia 20, 15, dan 12 tahun sebanyak RM7,800 merangkumi perbelanjaan membeli kelengkapan Aidilfri sebanyak RM2,600, Aidiladha (RM500), percutian (RM3,000) dan perbelanjaan awal persekolahan (RM1,800).

Azmi memerintahkan kesemua nafkah tahunan itu dibayar masing-masing pada 15 Ramadan, 1 Zulhijjah, 30 Oktober dan 1 Disember setiap tahun.

Bagi nafkah bulanan anak-anak pula, beliau memerintahkan  Zainal   Abidin , 47, melunaskan pada setiap 3 hari bulan mulai bulan depan menerusi akaun bank bekas isterinya yang diwakili peguam Syarie, Datuk Amli Embong.

Bagi yuran pengajian anak sulung  Zainal   Abidin  dan Kristina Zuhana yang sedang melanjutkan pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) pula, pengulas sukan tersebut bersetuju untuk melunaskan secara terus kepada pengurusan universiti dalam tempoh tujuh hari selepas menerima invois mengenai tuntutan yuran berkenaan daripada bekas isterinya.

Dalam perkembangan sama, tuntutan nafkah edah yang dibuat Kristina Zuhana sebelum ini juga selesai selepas bekas suaminya bersetuju untuk membayar RM8,000 melalui dua kali pembayaran pada 28 Februari ini dan 28 Mac depan. 

Zainal  dan Kristina Zuhana yang diiringi peguam Syarie masing-masing menghadiri prosiding tuntutan nafkah edah dan anak-anak tersebut. 

Bagaimanapun mereka masih belum mencapai persetujuan bersama berhubung tuntutan mutaah iaitu pemberian sagu hati daripada suami kepada isteri yang diceraikan tanpa sebab yang munasabah berdasarkan syarak dan Azmi memerintahkan perbicaraan bagi kes tersebut pada 8 April depan.

Sebelum ini, Kristina Zuhana memfailkan permohonan tersebut terhadap  Zainal   Abidin  pada 4 Februari 2013 selepas mereka sah bercerai pada 14 Jun 2012.

No comments:

Post a Comment