Translate

Saturday, February 15, 2014

Staf Jabatan Mufti turun padang

SHAH ALAM – Jabatan Mufti Selangor mengadakan program turun padang ke sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) di bandar raya ini semalam untuk memberi kesedaran kepada golongan remaja Muslim agar tidak meraikan Hari Kekasih (Valentine) yang dijadual disambut esok.
Ketua Penolong Mufti Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Selangor, Mat Jais Kamos berkata, mereka mengambil inisiatif mengedar risalah dan memberi penerangan tentang pengharaman sambutan Hari Kekasih kerana ia boleh menjuruskan golongan tersebut kepada masalah moral dan sosial.
"Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri  Selangor  pada 21 Februari 2006 telah memutuskan amalan menyambut Hari Kekasih bercanggah dan dilarang oleh Islam kerana mempunyai unsur agama lain, selain bercampur dengan perbuatan maksiat.

"Buat pertama kalinya, kami turun padang bersemuka dengan golongan sasaran iaitu remaja bagi menerangkan penguatkuasaan fatwa tersebut," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan penerangan dan risalah larangan sambutan Hari Kekasih di perkarangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 9 di sini semalam.

Antara isi kandungan risalah itu adalah tentang sejarah Hari  Valentine  yang tidak ada di dalam Islam, selain amalan, budaya dan hasrat perayaan itu mempunyai unsur-unsur ritual agama Kristian bercanggah dengan Islam.

Mat Jais berkata, sebanyak 4,000 risalah tentang pelarangan sambutan Hari Kekasih akan diedarkan kepada pelajar sekolah menengah dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam menjelang Jumaat ini.

Menurut beliau, pengedaran risalah dan penerangan secara bersemuka itu dirasakan pendekatan lebih efektif bagi mendekati golongan remaja.Sementara itu, bagi pelajar tingkatan lima, 

Muhd. Ibrahim Faiq Hussein, 17, kempen yang dijalankan itu bukan sahaja memberi kesedaran, tetapi juga memudahkan mereka bertanya lebih lanjut mengenai larangan sambutan Hari Kekasih itu.

Bagi Nadya Amira Azrudyn, 16, pula, kempen kesedaran seperti itu seharusnya dibuat lebih awal.

"Sambutan ini kami sambut secara suka-suka, tetapi dengan pendedahan ini, ia menyedarkan kami berhubung fatwa itu," katanya.

No comments:

Post a Comment