KUALA LANGAT - Lebih 5,000 warga Bandar Mahkota , Banting di sini antara sebahagian penduduk di daerah Dengkil dan Kuala Langat yang berdepan kesukaran menguruskan kehidupan seharian ekoran ketiadaan air.
Masalah tersebut lebih memeritkan bagi golongan warga emas dan golongan kelainan upaya (OKU).
Seorang penduduk OKU, S. Murugan, 32, berkata, keadaan fizikalnya yang lumpuh kedua-dua kaki selepas kemalangan beberapa tahun lalu menyukarnya dia sekeluarga untuk mendapatkan bekalan air bersih yang dibekalkan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).
"Sudahlah kedua-dua kaki saya lumpuh, keluarga saya tidak mempunyai kenderaan selain sebuah basikal. Saya terpaksa mengharapkan ihsan jiran-jiran semenjak masalah ketiadaan air bersih ini berlaku.
"Mujur ada jiran yang sanggup memberikan sebahagian simpanan air bersih yang diangkut mereka dari Stor Operasi Syabas Sungai Manggis kepada kami," katanya.
Seorang penduduk lagi, Mohd. Helmi Mustaffa, 35, berkata, Syabas melakukan penghantaran lori-lori tangki air ke taman perumahan itu sekurang-kurangnya sehari sekali tetapi ia tidak mencukupi.
"Selain meletakkan sebuah tangki air di hadapan surau, lori tangki air datang untuk membekalkan air bersih antara pukul 12 tengah malam hingga 5 pagi setiap hari namun tidak mencukupi untuk keseluruhan penduduk taman perumahan ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Suria, Bandar Mahkota di sini semalam.
No comments:
Post a Comment