Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
SHAH ALAM – Pengurusan taman tema digital, i-City semalam mendedahkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang mengandungi imej tiga individu disyaki terlibat dalam perbuatan sabotaj memusnahkan lebih 10 patung lilin figura terkenal dalam kebakaran di muzium lilin interaktif, The Red Carpet di sini Rabu lalu.
Pengurus Informasi I Berhad, Tan Soke Cheng berkata, rakaman CCTV selama lebih kurang 34 saat itu menunjukkan sekurang-kurangnya tiga individu sedang membakar salah sebuah patung lilin yang diletakkan di ruang pameran muzium tersebut.
"Tiga individu yang disyaki melakukan khianat itu dipercayai memasuki The Red Carpet menerusi pintu masuk premis tersebut sekitar pukul 3 pagi, Rabu lalu.
"Rakaman CCTV itu telah diserahkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
"Buat masa ini muzium masih ditutup. Kami belum dapat menetapkan tarikh beroperasi semula dan tempoh membaiki patung yang terbakar kerana menggunakan khidmat pereka patung lilin dari China yang kini masih bercuti sempena perayaan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Azisman Alias (gambar kecil) yang dihubungi mengesahkan menerima rakaman CCTV tersebut daripada pengurusan i-City baru-baru ini.
Beliau berkata, rakaman CCTV berkenaan yang mengandungi imej tiga suspek berkenaan kepada makmal untuk dianalisis.
"Polis juga sedang menunggu laporan forensik daripada pihak bomba. Siasatan sedang dijalankan namun setakat ini, polis tidak menolak kemungkinan kebakaran tersebut disebabkan oleh perbuatan sabotaj.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api yang memperuntukkan hukuman sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan," katanya.
Kosmo! 30 Januari lalu melaporkan lebih 10 patung lilin yang mempamerkan figura terkenal di The Red Carpet terbakar dipercayai akibat perbuatan sabotaj.
Antara patung lilin yang terbakar termasuklah pemimpin revolusi komunis China, Mao Zedong dan Ratu Elizabeth II.
No comments:
Post a Comment