Translate

Wednesday, February 5, 2014

15 warga Indonesia diberkas

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

PELABUHAN KLANG - Cubaan 15 warga Indonesia termasuk dua wanita untuk menyusup keluar dari negara ini secara haram tidak kesampaian apabila mereka diberkas sepasukan Polis Marin di perairan Pantai  Morib , Kuala Langat dekat sini semalam.

Dalam serbuan pada 4.30 pagi itu, kesemua individu yang disyaki pendatang asing tanpa izin ( PATI ) berusia dalam lingkungan 25 hingga 53 tahun tersebut ditemui di dalam sebuah sampan kira-kira satu batu nautika dari Pantai  Morib .

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Polis Marin Wilayah Satu, Deputi Superintendan Norzaid Muhammad Said berkata, sebelum itu, sepasukan anggota Polis Marin sedang menjalankan Ops Cantas Khas di kawasan perairan Selangor.

"Semasa meronda mengguna bot ronda RH16, pasukan Polis Marin berkenaan terserempak dengan sebuah bot yang berada dalam keadaan mencurigakan di perairan Pantai  Morib .

"Pasukan bertugas seterusnya bertindak mengepung seterusnya menahan bot yang dinaiki  PATI  warga Indonesia berkenaan," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Norzaid berkata, siasatan awal mendapati kesemua suspek di dalam bot itu sedang dalam perjalanan menuju ke Indonesia dari Pantai  Morib .

Menurut beliau, siasatan juga mendapati mereka dipercayai cuba melarikan diri dari negara ini bagi mengelak diberkas dalam Ops 6P yang dilancar untuk memburu  PATI  baru-baru ini selain tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.

"Sampan dan kesemua  PATI  berkenaan telah ditunda dan dibawa ke Pangkalan Markas Operasi Pasukan Polis Marin Pelabuhan Klang di sini untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007," katanya.

No comments:

Post a Comment