azli.adlan@kosmo.com.my
SHAH ALAM – Dua beradik dijatuhi hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh seorang warga emas dalam satu kejadian samun di Bandar Baru Sungai Buaya, Bukit Sentosa, Hulu Selangor dekat sini kira-kira empat tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Shamsul Abdul Aziz@Abdul Azis, 46, dan adik perempuannya, Tuti Adayu, 34, dari Bandar Tasik Puteri, Ijok, Kuala Selangor dekat sini didapati dengan niat bersama menyebabkan kematian Nen Ariffin, 73, di rumah mangsa pada pukul 8.15 malam, 27 Februari 2010.
Mohd. Shamsul juga dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan tiga sebatan manakala Tuti Adayu pula dipenjara lapan tahun atas kesalahan menyamun barangan kemas milik isteri mangsa, Siti Aminah Lateh, 73, sewaktu kejadian.
Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Ghazali Cha menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati hujahan pembelaan kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam bela, V. Aravindhaksan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu sebaliknya pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
“Hujah pembelaan mendakwa terdapat dua individu lain menaiki sebuah kereta Proton Saga berwarna merah yang kebetulan sama dengan kenderaan dinaiki mereka (tertuduh) memasuki rumah mangsa selepas mereka beredar dianggap sebagai rekaan semata-mata.
"Kewujudan dua individu dengan kereta hampir sama dengan tertuduh tidak pernah ditimbulkan pada peringkat pendakwaan."Kedua-dua tertuduh juga mengaku berjumpa dengan mangsa dan isterinya untuk bertanyakan tentang sebuah rumah kosong berhampiran bagi tujuan untuk disewakan pada malam kejadian," kata Ghazali ketika membacakan penghakimannya di sini semalam.
Berdasarkan fakta kes, Mohd. Shamsul yang masih bujang dan adiknya, Tuti Adayu mempunyai tiga anak berusia 12, 15 dan 17 tahun dituduh menyebabkan kematian Nen dengan menikam warga emas itu dengan sebilah pisau rambo pada kejadian samun itu.
Mereka juga turut menyamun dua utas rantai leher dan seutas gelang tangan emas milik Siti Aminah bernilai RM8,100.Bagi pertuduhan membunuh, dua beradik itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan menyamun pula, mereka didakwa mengikut Seksyen 395 dan 397 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.Siti Aminah yang hadir di mahkamah semalam berkata, kehilangan suaminya memang tidak dapat ditukar ganti.
Dia sekeluarga bagaimanapun bersyukur kematian Nen akhirnya terbela.
"Semasa kejadian, hanya saya dan suami sahaja berada di dalam rumah. Trauma mengenang kejadian yang berlaku di depan mata," katanya.
No comments:
Post a Comment