Translate

Sunday, February 23, 2014

Baki rizab air tinggal 1 peratus

Oleh MOHD. HAFIZI AHMAD, AZLI ADLAN dan AHMAD SHAH ERMAN SHAMSURI
berita@kosmo.com.my


KUALA LUMPUR - Pelbagai pihak menggesa Kerajaan Negeri Selangor tidak terus bermain tarik tali berhubung isu pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) bagi mengatasi masalah bekalan air bersih yang semakin kritikal di Lembah Klang.
Persatuan Air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya (SWAn), meminta Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Pusat menyegerakan Langat 2 yang tertangguh sejak lima tahun kerana baki bekalan simpanan air di Lembah Klang hanya satu peratus sahaja.
Presidennya, Aldric Loong Kim Yew berkata, pada masa sekarang kedua-dua belah pihak perlu segera melaksanakan projek itu kerana rizab air yang tinggal hanyalah 43 juta liter sehari daripada kapasiti harian 4,300 juta liter.

Kata  Aldric , jika projek itu tidak dilaksanakan dalam tempoh terdekat, pihaknya yakin krisis air yang sedang melanda Lembah Klang akan lebih kritikal kerana kapasiti air terawat sedia ada dan projek mitigasi yang sudah diluluskan hanya dapat menampung permintaan sehingga 2016 sahaja.

"Kapasiti rizab air di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya semakin berkurangan setiap tahun dan sehingga kini hanya terdapat satu peratus sahaja stok simpanan air.

"Jika berlaku krisis atau bencana yang melibatkan air seperti pencemaran loji atau sungai, masalah paip bocor dan masalah mekanikal adalah sangat sukar untuk menampung keperluan bekalan air kerana simpanan yang amat kritikal," katanya ketika dihubungi semalam.

Projek Langat 2 dijangka dapat menyediakan tambahan 1,130 juta liter air sehari iaitu untuk membantu menampung keperluan hampir 7 juta pengguna di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.

Bagaimanapun, projek berkenaan tertangguh sejak tahun 2008 apabila kerajaan Selangor tidak meluluskan kawasan Gombak untuk digunakan bagi projek itu.

Sementara itu, Pengerusi Barisan Nasional Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, penstrukturan semula pengurusan air di negeri itu tidak boleh lagi dijadikan alasan untuk melengah-lengahkan pembinaaan Langat 2 kerana ia merupakan dua isu yang berbeza.

"Pembinaan Langat 2 perlu disegerakan tanpa menunggu penstrukturan semula pengurusan air kerana tidak guna kerajaan negeri ambil alih tetapi bekalan tiada," katanya selepas menyampaikan Bantuan Awal Persekolahan 1Malaysia (BAP1M) di Sekolah Kebangsaan Kuala Selangor, Bukit Belimbing semalam.

Dalam pada itu, kepayahan hidup hampir 332,000 penduduk di daerah Kuala Langat dan Hulu Langat yang terputus bekalan air sejak dua minggu lalu dijangka berpanjangan berikutan kandungan ammonia yang masih tinggi di dua buah loji LRA Cheras Batu 11 dan di LRA Bukit Tampoi.

Dua loji berkenaan terpaksa ditutup akibat kandungan ammonia yang melebihi paras yang dibenarkan iaitu 1.5 bahagian setiap sejuta (ppm).

Menurut Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd., Priscilla Alfred, sehingga pukul 5 petang semalam, kandungan ammnonia di LRA Cheras Batu 11 mencatatkan bacaan 3.75 ppm manakala di LRA Bukit Tampoi pada paras 5 ppm.

No comments:

Post a Comment