Translate

Friday, January 31, 2014

SIRIM perkenal pelan komersial BioNG

KUALA LANGAT - Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) Berhad bercadang untuk melaksanakan pelan pengkomersialan biogas metana mirip gas asli (BioNG) kepada umum dalam tempoh dua tahun lagi.

Presiden dan Ketua Eksekutif SIRIM, Dr. Zainal Abidin Mohd. Yusof berkata, ketika ini, biogas yang dihasilkan melalui kaedah fermentasi oleh mikro organisma terhadap bahan buangan kelapa sawit itu hanya digunakan di dalam ladang kelapa sawit terlibat.

“Projek perintis ladang demonstrasi BioNG dimulakan di ladang-ladang kelapa sawit terpilih milik Sime Darby Plantation.

“Sehubungan itu, SIRIM berharap pelan pengkomersialan bio gas tersebut dapat diperkenalkan dengan lebih cepat menerusi kerjasama dengan firma perladangan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi lawatan kerja Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ewon Ebin di loji perintis biogas yang dibangunkan SIRIM bersama Sime Darby Research Sdn. Bhd. di Pulau Carey di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi SIRIM, Datuk Jamaliah Kamis dan Ketua Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Sime Darby Plantation, Dr. Mohamed Nazeeb P. Ali Thambi.

Zainal Abidin berkata, projek pengeluaran perintis biogas di Pulau Carey itu merupakan salah satu daripada 13 projek diluluskan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi melalui skim Dana Tekno sebanyak RM3 juta pada tahun 2009.

Sementara itu, Ewon menjelaskan, kementeriannya menyasar untuk menjalin kerjasama berkaitan dengan projek ladang demonstrasi BioNG dengan lebih banyak lagi syarikat perladangan kepala sawit di negara ini.

No comments:

Post a Comment