Translate

Wednesday, August 3, 2022

Menu Keluarga UMT RM3.50 diperkenal bantu pelajar

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengambil inisiatif memperkenalkan menu Keluarga UMT bagi membantu pelajar terutama dalam kalangan kurang berkemampuan (B40).

Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd. Ghaffar berkata, inisiatif tersebut menetapkan harga siling bagi harga siling menu terpilih pada harga RM3.50.

“Menu Keluarga UMT ini boleh didapati di semua kafeteria di dalam kampus bagi memastikan setiap pelajar dapat menikmati hidangan.

“Kita juga bekerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi mengawal dan memantau kadar harga makanan dan kualiti perkhidmatan di kafetaria kampus,” katanya di sini hari ini.

Mazlan berkata, pendekatan itu bagi memastikan tidak berlaku sebarang kenaikan harga makanan yang kurang wajar.

Tambah beliau, pengecualian caj sewaan premis kafetaria kampus juga telah diberi selama enam bulan sehingga akhir tahun ini.

“Harapan kita inisiatif ini dapat membantu pengusaha kafeteria terbabit menyerap kenaikan kos bahan mentah sekali gus mengawal peningkatan harga makanan yang boleh memberi impak kepada pelajar,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mazlan memberitahu, program bantuan makanan percuma seperti Gerobok Mutiara UMT masih diteruskan.

Beliau berkata, pengurusan UMT juga menyumbang bahan mentah untuk penyediaan makanan kepada pelajar memerlukan yang menetap di luar kampus.

“Selain itu, seramai 7,324 pelajar UMT layak menerima wang sara hidup menerusi Bantuan Dana Siswa dan Dana Asnaf Zakat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment