Translate

Thursday, August 25, 2022

Suspek sindiket ah long, rokok seludup direman hingga Selasa

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Empat lelaki yang disyaki anggota sindiket rokok seludup dan pinjaman tidak berlesen ditahan reman selama tiga hari lagi.

Timbalan Ketua Polis, Datuk Wan Rukman Wan Hassan berkata, tambahan tahanan reman sehingga lusa itu telah diterima dari Mahkamah Majistret di sini hari ini.

“Siasatan lanjut terhadap keempat-empat suspek berusia dalam lingkungan 26 hingga 34 tahun itu akan diteruskan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Kosmo! hari ini melaporkan polis berjaya menumpaskan kegiatan sebuah sindiket rokok seludup yang juga bergelar ah long pada Rabu minggu lalu.

Wan Rukman berkata, siasatan awal mendapati anggota sindiket itu yang berasal dari Selangor baru aktif di bandar raya ini sejak beberapa bulan lalu.

Beliau berkata, modus operandi sindiket tersebut ialah memasarkan bekalan rokok disyaki tanpa cukai kepada pengusaha kedai runcit dan peniaga kecil di sekitar bandar raya ini. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment